Pada suatu hari, Rasulullah saw. berpesan kepada para sahabatnya, “Belajarlah Al Qur'an daripada empat orang: Abdullah bin Mas'ud, Salim Maula Abu Hudzaifah, Ubai bin Ka'b dan Muadz bin Jabal."
Kita sudah berkenalan dengan Abdullah bin Mas'ud, Ubai dan Muadz.
Jadi, siapakah pula sahabat yang keempat yang dijadikan Rasulullah sebagai rujukan untuk mengajarkan AI Qur'an?
Dialah Salim Maula (hamba yang dibebaskan oleh) Abu Hudzaifah.
Dahulunya, beliau merupakan seorang hamba yang dijual beli,
lalu Islam mengangkat martabatnya,
sehingga beliau dijadikan anak angkat oleh seorang tokoh Islam terkemuka,
yang sebelum masuk Islam juga seorang bangsawan dan pemuka Quraisy.
Selepas Islam menghapuskan budaya anak angkat ketika itu,
beliau menjadi saudara dan kawan rapat kepada orang yang memerdekakannya,
yaitu sahabat mulia Abu Hudzaifah bin Utbah.
Berkat kurnia dan nikmat daripada Allah ta'ala, ruhiyah, tingkahlaku dan ketakwaan Salim mencapai ke puncaknya, sehinggakan beliau disegani dan dihormati oleh rakan-rakannya sesama muslim.
Sahabat Rasul yang mulia ini biasanya dipanggil "Salim Maula Abu Hudzaifah"
kerana dahulunya beliau merupakan seorang hamba yang dijual beli,
kemudiannya dimerdekakan.
Beliau beriman kepada Allah dan Rasul-Nya sejak awal lagi,
sehingga digolongkan dalam kalangan as-Sabiqun al-Awwalun
(orang-orang yang mula-mula memeluk Islam).
Hudzaifah bin Utbah sendiri juga telah masuk Islam sejak awal.
Beliau tidak peduli dengan ayahnya (Utbah bin Rabi'ah) yang sedang marah dan kecewa kerana anaknya (Hudzaifah) telah masuk Islam.
Padahal, Hudzaifah memiliki kewibawaan tinggi dalam kalangan orang Quraisy dan bahkan,
dirinya telah dipersiapkan untuk menjadi pemimpin Quraisy.
Setelah memerdekakan Salim, Abu Hudzaifah menjadikannya sebagai anak angkat.
Disebabkan inilah, Salim dikenali sebagai Salim bin Abu Hudzaifah.
Selepas itu, kedua-dua mereka beribadah kepada Allah dengan penuh khusyu dan ketaatan.
Setiap siksaan dan tipu daya Quraisy,
mereka hadapi dengan penuh kesabaran.
Pada suatu hari, turunlah ayat yang menghapuskan budaya anak angkat yang berlaku pada waktu itu. Setiap anak angkat mestilah disebut sesuai dengan nama ayah kandungnya,
bukan ayah angkatnya.
Zaid yang pada waktu itu merupakan anak angkat Nabi saw. dan juga dikenali dalam kalangan kaum muslimin sebagai Zaid bin Muhammad saw., menggunakan nama ayah kandungnya semula iaitu Haritsah, lalu namanya menjadi Zaid bin Haritsah.
Akan tetapi, ayah Salim tidak dapat diketahui sehinggakan beliau akhirnya dinasabkan dengan orang yang telah memerdekakannya,
maka beliau dipanggil Salim Maula Abu Hudzaifah.
Boleh jadi, ketika Islam menghapuskan budaya anak angkat,
Islam ingin menegaskan kepada umatnya,
"Janganlah kamu mencari-cari hubungan kekeluargaan dan silaturahim untuk menguatkan persaudaraan yang lebih besar dan lebih kuat berbanding Islam itu sendiri dan juga akidah yang menjadikan kalian bersaudara."
Hal ini telah difahami dengan baik oleh kaum muslimin generasi as Sabiqun al Awwalun.
Setelah Allah dan Rasul-Nya,
tidak ada yang lebih mereka cintai melainkan saudara seakidah dengan mereka.
Kita telah melihat bagaimana orang-orang Ansar menyambut saudara-saudara mereka,
kaum Muhajirin.
Mereka membahagikan harta dan tempat tinggal mereka kepada dua bahagian,
bahkan ada yang memberi semua yang mereka miliki.
Inilah yang terjadi antara Abu Hudzaifah,
seorang bangsawan Quraisy terhadap Salim yang dahulunya hamba belian yang tidak diketahui siapa ayahnya itu.
Sehingga akhir hayat mereka,
hubungan kedua-dua mereka ini lebih erat dan bukan sekadar sebagai dua orang adik-beradik, sehinggakan ketika meninggal dunia,
mereka mati bersama-sama,
nyawa melayang bersama dan tubuh mereka terbaring berdampingan.
Inilah kemuliaan Islam yang tiada dua.
Bahkan, ini baru satu daripada sekian banyak kemuliaan dan keistimemewaan Islam.
Keimanan Salim sudah mencapai ke puncaknya.
Beliau telah menempuh jalan menuju Allah dengan soleh dan ketakwaan.
Oleh itu, salasilah keturunan dan kedudukannya di masyarakat sudah tidak menjadi masalah lagi, kerana ketakwaan dan keikhlasannya telah mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi di tengah-tengah masyarakat yang baru dibangunkan oleh Islam dengan tapak dan asas baru yang adil lagi mulia.
Asas itu diceritakan dalam firman Allah berikut.
"Sesungguhnya, yang paling mulia antara kamu ialah yang paling bertakwa"(al Hujurat, 49:13)
Juga dikhabarkan dalam hadis berikut.
"Tidak ada keutamaan bagi seorang Arab terhadap yang bukan Arab,
kecuali kerana ketakwaannya,
dan tidak ada keutamaan bagi seorang kulit putih terhadap seorang kulit hitam kecuali kerana ketakwaannya."
Dalam masyarakat baru yang bersih itu,
Abu Hudzaifah pasti disanjung-sanjung sekiranya menjadi wali bagi seseorang yang dahulunya menjadi hamba belian.
Bahkan, keluarganya juga akan disanjung jika menikahkan Salim dengan keponakannya yang bernama Fatimah binti Walid bin Utbah.
Di tengah-tengah masyarakat baru dan bersih yang menghancurkan sistem kasta yang
menganiaya dan diskriminasi yang tidak adil inilah,
Salim selalu berada di barisan hadapan disebabkan kejujuran,
keimanan dan jasa baiknya.
Benar,
dialah yang menjadi imam solat jemaah bagi kaum Muhajirin selama mereka bersolat di Masjid Quba'.
Beliau menjadi rujukan bagi mereka yang ingin mempelajari Al Qur'an,
sehinggakan Rasulullah menyuruh kaum muslimin belajar daripadanya.
Beliau juga memiliki banyak kebaikan dan kelebihan sehingga Rasulullah pernah bersabda kepadanya, "Segala puji bagi Allah yang menjadikan dalam umatku, orang sepertimu."
Bahkan sahabat-sahabatnya ketika itu menggelarkannya sebagai Salim "orang yang soleh".
Riwayat hidup Salim seperti riwayat hidup Bilal dan puluhan hamba belian serta fakir miskin lain yang dibebaskan oleh Islam dari belenggu perhambaan dan kelemahan,
lalu Islam menjadikan mereka pemimpin dalam masyarakat madani.
Pada diri Salim, terkumpul seluruh keutamaan dan kelebihan yang diajarkan oleh Islam.
Bahkan boleh dikatakan,
semua keutamaan itu berdesakan memenuhi diri dan sekitarnya.
Dan kesungguhan imannyalah yang menjaganya dengan baik.
Antara kelebihannya yang paling menonjol ialah beliau berani menyatakan
secara jelas apa yang dianggapnya benar.
Beliau tidak mahu diam jika menurutnya, pada waktu itu beliau harus berbicara.
Beliau tidak mahu mengkhianati kehidupan dengan berdiam diri terhadap suatu
kesalahan yang dapat menguburkan kehidupan itu.
Selepas peristiwa pembukaan kota Mekah,
Rasulullah menghantar beberapa buah pasukan kecil ke kampung-kampung dan
suku-suku Arab di sekeliling Mekah, dan memberitahukan kepada penduduknya
bahawa Rasulullah saw. menghantar utusan tersebut untuk berdakwah dan bukan untuk berperang.
Khalid bin Walid terpilih sebagai ketua salah sebuah pasukan tersebut.
Ketika Khalid sampai di tempat yang dituju,
terjadilah suatu peristiwa yang menyebabkan beliau terpaksa menggunakan senjata lalu membunuh. Ketika berita peristiwa ini sampai kepada Nabi saw.,
baginda tidak henti-henti memohon keampunan daripada Allah.
Baginda berkata,
"Ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu daripada perbuatan yang dilakukan oleh Khalid."
Bahkan, peristiwa ini selalu diingati oleh Saidina Umar dan mempengaruhi sikap dan
pandangannya terhadap Khalid.
Beliau berkata, "Sesungguhnya, pedang Khalid itu terlalu tergesa-gesa."
Dalam pasukan kecil yang diketuai oleh Khalid itulah terdapat Salim Maula Abu Hudzaifah dan sahabat yang lain.
Ketika beliau melihat tindakan Khalid tersebur,
Salim menegurnya habis-habisan dan memberitahukan kesalahannya sedangkan Khalid,
yang merupakan seorang komandan dan juga pahlawan hebat pada zaman Jahiliah dan selepas Islam, kadang-kadang diam sambil mendengar,
kadang-kadang membela hujahnya dan kadang-kadang berbicara dengan suara lantang.
Namun, Salim tetap berpegang pada pendiriannya dan mengemukakannya
tanpa rasa takut atau basa-basi.
Pada waktu itu, Salim tidak memandang Khalid sebagai pemuka bangsawan dan
memandang dirinya sebagai hamba belian.
Tidak! Hal ini kerana Islam telah menyamakan kedudukan mereka.
Beliau juga tidak memandangnya sebagai komandan yang bebas untuk berbuat apa-apa kesalahan, tetapi sebagai rakan seperjuangan.
Teguran yang beliau tujukan kepada Khalid bukan kerana maksud tertentu atau dengan tujuan tertentu, tetapi sebagai nasihat yang dijunjung tinggi oleh Islam,
dan dijadikan oleh Nabi saw. sebagai sendi agama.
Baginda pernah bersabda,
"Agama itu nasihat.
Agama itu nasihat.
Agama itu nasihat."
Ketika Rasulullah saw. mendengar tindakan Khalid itu,
beliau bertanya, ''Adakah sesiapa yang tidak bersetuju dengannya?"
Alangkah indah dan hebatnya pertanyaan ini.
Kemarahan Rasulullah pun mereda ketika para sahabat menjawab,
"Ada. Salim Maula Abu Hudzaifah."
Salim menjalani kehidupannya bersama Rasulullah dan kaum muslimin.
To be continued...