Jihad Wanita Palestin
Kenyataan berani seorang wanita ahli parlimen Israel yang meminta. tentera Israel agar membunuh semua ibu-ibu palestin sememangnya menimbulkan kemarahan dan kebencian yang meluap-luap umat Islam. Memetik laporan berita Israel, PressTV, wanita yang dikenali sebagai Ayelet Shaked membuat desakan itu dengan menuduh kaum ibu rakyat Palestin dikatakan telah melahirkan ‘ular-ular kecil’.
Dengan apa yang telah dilakukan oleh Israel sehingga kini yang mengorbankan lebih 200 nyawa dan 1000 lebih cedera dan cacat kekal, lebih dari cukup membuktikan kekejaman dan kezaliman negara haram Israel.
Apakah yang telah menyebabkan kenyatan seperti itu keluar dari mulut mereka? Ingin membunuh semua ibu-ibu Palestin yang dari sudut fizikalnya tidak mungkin segagah dan sehebat tentera al-qassam dan lelaki palestin yang lainnya. Bahkan sebenarnya mereka begitu takut. Mereka sedar akan kekuatan sebenar seorang wanita yang mampu melahirkan lebih banyak mujahidin dan pejuang Allah di bumi suci itu. Kelahiran ramai bayi-bayi baru di bumi itu dianggap seperti ‘ular-ular kecil’ yang sudah pasti berbisa mampu membunuh dan mengecutkan tali perut Israel. ‘Ular-ular kecil’ ini jugalah yang akan membesar menjadi ibarat ‘anaconda’ kepada mereka.
Dengan pernyataan ini jelas ketakutan mereka dan membuktikan bahawasanya wanita Islam juga merupakan penyumbang jihad yang besar dan menggerunkan musuh. Anak-anak yang lahir dari rahim mereka menjadi kanak-kanak yang tidak gentar bahkan sentiasa bercita-cita untuk mati syahid.
Rakyat Israel mendidik anak-anak kecil mereka supaya membenci umat islam, menanam dalam kotak pemikiran bahawa mereka dilahirkan untuk membunuh (baca: slogan mereka ‘Born to Kill’) dan bangsa lain selain mereka adalah hina (baca:anti-semitic). Mereka mewujudkan muzium senjata dan peralatan perang dan menanamkan cita-cita menjadi pembunuh muslim terbanyak di dalam jiwa anak-anak tersebut. Sepertimana mereka, dengan keterbatasan dan kekurangan yang ada wanita ibu Palestin ini juga sedaya-upaya mendidik anak-anak mereka.
Namun yang membezakan antara keduanya adalah didikan yang diberikan adalah atas landasan kebenaran dibekali keimanan yang tinggi serta pertolongan dari Allah. Bahkan menurut statistik kadar kelahiran rakyat palestin jauh lebih tinggi dari rakyat Israel.
Mengimbau kembali peperangan Furqan yang telah berlaku di Gaza pada tahun 2008-2009 selama 22 hari membunuh kira-kira 1,412 orang, namun dalam tempoh yang sama lahir seramai 3,700 bayi menurut Hamam Nisman, Pengarah Jabatan Hubungan Sosial dalam Kementerian Kesihatan pemerintahan Gaza.
“Mereka lahir antara tarikh 27 Disember 2008 hingga 17 Januari 2009, ketika Israel melakukan serangan yang menyebabkan meninggalnya 1.412 rakyat Gaza, yang majoriti wanita dan kanak-kanak-kanak-kanak,” katanya.
Menurutnya lagi “Nisbah antara kematian dan kelahiran di Gaza memang tidak sama. Angka kelahiran, jelasnya lagi, mencapai 50 ribu setiap tahun, sedang kematian mencapai 5 ribu.
Seperti dilaporkan oleh InfoPalestina pada tahun 2012 pula, data menunjukkan perbandingan angka kelahiran dan kematian di Gaza adalah 15 berbanding 1. Sepanjang empat bulan terakhir pd tahun tersebut terdapat 14280 angka kelahiran baru. Terdiri dari 7329 bayi lelaki, atau 51.3 peratus dan 6955 bayi perempuan atau 48.6 peratus. Ertinya, lebih dari 155 angka kelahiran berlaku setiap harinya. Sedangkan angka kematian dalam tempoh yang sama berjumlah mencapai 974 orang. 523 orang atau 53.6 peratus daripadanya adalah lelaki dan 451 orang atau 46.3 peratus adalah perempuan. Ertinya kematian di Gaza mencapai 10 orang setiap harinya. Data sebelumnya menunjukkan wanita Gaza dikenali sebagai wanita paling subur di dunia. Tahap kesuburan di Gaza mencapai 6 bayi satu wanita. Angka itu jauh di atas paras kesuburan di Israel yang mencapai 2.6 bayi satu wanita
Jihad Wanita Palestin
Wanita Palestin Gaza khususnya bukan sembarangan wanita, mereka terdidik menjadi wanita hebat yang mementingkan urusan menuntut Ilmu dalam masa yang sama menyedari akan hakikat perjuangan di sana memerlukan jumlah kekuatan yang besar lalu mereka tidak mengehadkan jumlah anak. Bahkan ramai yang bernikah ketika usia muda atau di bangku universiti. Sekalipun mereka miskin namun tetap berusaha memiliki anak ramai. Ada para ibu berhenti kuliah untuk fokus mengurus rumah tangga dan mendidik anak di rumah sampai dewasa. Ketika anak pertamanya melanjutkan ke universitas, si ibu juga turut mendaftarkan diri di kampus yang sama di jurusan yang sama pula: Universiti Islamiyah Gaza jurusan Psikologi.
Anak-anak diberi didikan sempurna, dibekalkan dengan ilmu Al-Quran dan hadis. Dilatih menghafal Al-Quran sejak kecil dan disemai semangat jihad dan perjuangan mempertahankan tanah air, bumi barakah yang dijanjikan oleh Allah. Mana mungkin lahir anak luar biasa dari rahim wanita biasa-biasa. Anak-anak yang menghafal A-Quran sudah pasti dari ibu yang juga akrab dengan Al-Quran. Maka tidak hairanlah Ayelet Shaked dengan tanpa peduli dengan kecaman dunia mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Kehebatan para sahabiyah
Telusuri dan pelajarilah dari ummul mukminin serta para sahabiah. Suatu hari Asma’ binti Abu Bakar berkata kepada anaknya Abdullah Ibnu Zubair ketika bahaya mengepung dirinya dari segala arah. “Wahai puteraku, janganlah kau mahu menerima tawaran yang akan menghinakan dirimu kerana kau takut mati. Demi Allah, pukulan dengan pedang dalam kemuliaan lebih terhormat dari pukulan pecut yang menghinakan”
Seorang sahabiyah lainnya ketika berlaku peperangan semasa pemerintahan khalifah Umar Al-Khattab mewasiatkan kepada empat orang anaknya “Wahai anak-anakku, kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan suka rela pula. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudaramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum Muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bawasanya kampung yang kekal itu lebih baik dari kampung yang binasa.”
Ini pula kisah ‘Khansaa’ abad ini. Digelar sebagai “Khansaa Palestina” wanita bernama Mariam Farhat atau lebih dikenali dengan nama Ummu Nidhal. Ummu Nidhal merupakah ibu kepada sepuluh orang pejuang HAMAS yang mana tiga daripadanya telah syahid dan selebihnya ditangkap dan dipenjarakan oleh Israel.
Generasi umat Islam yang diharapkan bakal memimpin dunia sudah semestinya lahir dari rahim ibu yang luar biasa. Pendidikan anak bermula sedari awal bahkan sebelum sang ibu bergelar isteri lagi. Oleh itu marilah wahai wanita Islam, persiapkan diri dengan bekal menjadi muslimah solehah, zaujah mukminah dan ummi mujahidah semoga kelak lahir generasi penerus mata rantai perjuangan Rasulullah.
Roszida Kamaruddin
Naib Presiden 2
Persatuan Belia Islam Nasional
Naib Presiden 2
Persatuan Belia Islam Nasional