Thursday, July 24, 2014

Begini caranya menyambut syawal

1) Bertakbir

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.

– Surah al-Baqarah:185.
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri.

(2) Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).

– Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

 

(3) Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.

(4) Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.

– Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

(5) Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.

– Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.
Anas bin Malik r.a berkata:

Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma. Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.

– Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

(6) Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafie r.h berkata:

Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.

– Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik dan tercantik. Terbaik dan tercantik tidak semestinya berpakaian baru, bagi yang tidak berkemampuan membeli pakaian yang baru, memadailah memakai baju yang dirasakan terindah dan terbaik baginya.

Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.

– Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.
.

(7) Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.

– Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

(8) Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.

– Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

(9) Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).

– Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

(10) Mengerjakan Solat Aidilfitri.

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.

– Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).

- Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

(11) Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.

- Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

(12) Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.

– Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah.